Friday, April 29, 2011

renungan buat sang suami~

Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa
isteri ke 'Mahkota Medical Centre', dia mengadu
kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya
lenguh-lenguh. Saya tanya dia"mengandung kot?" Dia
kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya
bawak dia jumpa doktor dan ternyata.... isteri saya
mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka
bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa
depan akan pastinya berubah lagi.

Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini
senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning
sickness yang teruk sekali bagi isteri
saya.Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa.
Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak.
Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur,
kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja
solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur
kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya.
Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu,
sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya
sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang
dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran
sehingga isteri saya terlelap.Memang kebiasaan
sebelum mengandung pun saya akan membaca
Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur
sehinggalah dia terlelap.

Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya
sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam
kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu
sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan
janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya
ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula
dengan
kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab
'Kasyaful Mahjub'. Mungkin ada pembaca yang berkata
saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin
survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak
berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan
anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada
kemudian hari adalah diluar bidang kuasa
saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.

Saya bercerita kepadanya tentang Allah,
zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali
bercerita kepada diri saya. Adayang menghantar
email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar
tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya
untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya
yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak
kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah
waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua
pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub
conscius mind) adalah paling optimum ketika
ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan
kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke
ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah
ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al
fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam
hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah
di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah
dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai
mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda
beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati
isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan
berselawat, banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa
sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir
anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat
anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang
menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya
bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan
anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An
Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa
Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik
Hanafi
sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam
Abu Hanifah "Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia
dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu
aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang
belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin
disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah)
ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga
sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak
dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik
akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih
segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri
kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita
sendiri.

Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang
membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa
berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah
sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya
nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh
Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah
para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu
kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara
saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa
pula kata mereka nanti.

Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun yenyak
dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin
disisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman
rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi
saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak
yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang
dan
bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri
saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami
akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa
depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.

Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim
piatu yang ditinggalkan ditengah padangrumput,sehingga
sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini
saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud
salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam
hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan
saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya
biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak
akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu
dibohongi yang teddy bear adalah'mama'nya seperti
saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia
tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu
banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud
menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki
jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya
kuncikan pintu dan ke kamar tidur.Isteri saya
telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah 'bintang timur'
dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam
hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan
cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan
muncul 'bintang timur kecil' dalam hidup saya

Wednesday, April 27, 2011

Wahai Lelaki,,,Hormatilah Isteri Awak!!!


Buat si suami anda memang raja tetapi berilah penghargaan dan hormatilah isterimu selalu.
Mari kita berkongsi sedikit sebanyak nasihat dari Dato' Dr Fadhilah Kamsah dalam menghargai isterimu.
01.Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
02.Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri.
Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
03.Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..
04.Jangan demand seks sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.
05.Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
06.Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya.
Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.
07.Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.
08.Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik.
Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.
09.Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
10.Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut? Sudah kahwin makin menjadi-jadi pulak ye..
11.Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12.Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga. Cuba perihatin dan buat penilaian sebaiknya.. ingat ada perkara diluar jangkauan dan pemahaman lelaki..
13.Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami "degil" tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
14.Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?
15.Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
16.Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
17.Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
18.Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
19.Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.
20.Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai.
Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
21.Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama.Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga.
Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.
22.Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga.Jangan buat apa yang isteri tak suka.
Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
23.Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris.
Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.
Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.
Allah s.w.t. berfirman, "Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan"
Suami diberi tanggungjawab yang amat besar sebagai pemimpin keluarga. Kepimpinan seorang suami bukan bermakna dia berkuasa melakukan apa sahaja.
Apa yang dimaksudkan sebagai kepimpinan ialah seorang suami yang mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya.
Melayan isterinya serta keluarganya dengan baik, menjadi pelindung kepada keluarganya dan yang paling penting harus menjadi pendakwah dalam keluarganya.
Isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam keluarga. Ketaatan dan kesetiaan seorang isteri menjamin kebahagiaan rumahtangga yang dibina.
Isteri harus menjaga kehormatan dirinya semasa ketiadaan suami selain ikhlas dan sabar menjaga anak-anak dan harta dalam rumah tangga.
Apabila suami atau isteri tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing, pembentukan keluarga sakinah akan tercapai.
Sebuah keluarga yang sakinah bukan sahaja boleh dibentuk melalui peranan isteri dan suami malah meliputi anak-anak dan ahli keluarga yang lain.
Oleh itu, keluarga yang dibentuk harus padat dan lengkap secara berterusan dan konsisten mengamalkan nilai-nilai sakinah yang telah diunjurkan dalam al-Quran dan Sunnah.

Secebis Ingatan Buat Adam


Adam...
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Wahai Adamku...
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. 
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu tatkala aku sentiasa mahu terpesong dari landasan... kerana aku buruan syaitan.
Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya.
Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana kerana Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tetapi... aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.
Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku.
Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini.
Kami dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku.
Dimana perginya keadilanmu?
Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut... tetapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini? Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam...
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketuaku.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku? Akalku satu, nafsuku sembilan.
Oleh itu Adam...pimpinlah, bimbinglah aku kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.
Maafkan aku sekali lagi Adam... 
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.
Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.
Waspadalah Adam...
Andai auratku terdedah...andai suaraku mengatasimu... andai langkah seiringmu... andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi...
Tetapi percayalah!!! Bukan emas yang kucari... bukan berlian yang kupinta... tetapi, hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu...
Adam...
Dengarlah...keluhan hatiku buat dirimu...
Ikhlas dari Hawa abad ini...